Friday, January 20, 2012

Dua bayi mati tersedak susu di Pusat Asuhan

Assalamualaikum wbt.

Semalam saya mendapat satu berita daripada page group sekolah lama saya mengatakan anak kawan sekolah saya (Rohana Ahmad) aka Nana meninggal dunia pada 19 Januari 2011 semalam petang. Sehingga pagi ini saya masih tertanya mengapa bayi comel Nana meninggal. 

Klik untuk besarkan gambar

Sampailah di pejabat pada pagi ini, saya terbaca di muka hadapan Berita Harian menenai dua (2) bayi meninggal dunia akibat tersedak susu, dan itulah anak kawan saya. Al-Fatihah.. Takziah kepada Rohana Ahmad dan keluarga atas pemergian bayi comel mereka. Allah lebih menyayangi anak anda dan sesungguhnya ianya ujian buat Nana sekeluarga dan pasti ada hikmah disebaliknya. 

Kepada pihak berkuasa, ambillah tindakan sewajarnya dan sekeras2nya terhadap Pusat Asuhan yang mengabaikan tanggungjawab mereka dan mengambil remeh terhadap penjagaan bayi ini. Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi di masa hadapan. Terlalu banyak kes2 sebegini berlaku di negara kita, tetapi seperti tidak ada jalan penyelesaian. wahai Pusat Asuhan, jgn kerana dek ingin mengejar keuntungan, anda bersikap acuh tak acuh dalam menjaga dan menguruskan bayi. Kalau boleh, 1 pekerja untuk 3 orang bayi. Bukannya 1 pekerja menjaga 10 orang sekaligus.. 

Di bawah petikan yang diambil dari Berita harian pada hari ini mengenai bayi rakan lama sekolah saya. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mangsa. Al Fatihah.

DUA BAYI MATI TERSEDAK SUSU DI PUSAT ASUHAN
2012/01/20


KELUARGA dan sahabat salah seorang bayi yang meninggal tersedak susu di pusat asuhan menunggu di luar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur, semalam.KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dari sebuah pusat asuhan maut dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuh mereka di Taman Pertama, Ampang dekat sini, tengah hari semalam.

Kejadian jam 1 tengah hari itu dikatakan berlaku tidak lama selepas kedua-dua bayi malang itu, Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Harris, tujuh bulan, diberikan susu di pusat asuhan berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas dikejarkan petugas pusat asuhan terbabit ke sebuah poliklinik di Taman Permata sebelum mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Bapa Muzaffar, Mohd Faizal Jaafar, 32, berkata ketika kejadian beliau berada di Kedah kerana urusan kerja sebelum bergegas pulang ke ibu negara selepas dihubungi isterinya pada jam 2.45 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, anak keduanya itu dihantar ke pusat asuhan terbabit sejak lebih sebulan lalu dan tidak menyangka kejadian sedih itu akan menimpa mereka sekeluarga.

“Isteri memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada petugas pusat asuhan itu jam 2 petang dan memintanya ke sebuah poliklinik di Taman Pertama.

“Sebaik tiba, anak saya disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke HKL untuk bedah siasat,” katanya.
Mohd Faizal berkata, beliau belum memikirkan sebarang tindakan lanjut kerana masih menunggu keputusan penuh bedah siasat selain mahu menguruskan urusan pengebumian jenazah anaknya terlebih dulu yang dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU5, Lembah Keramat hari ini.

Datuk kepada Harris, Abdul Aziz, 51, berkata beliau terkejut sebaik mendapat tahu cucu lelakinya yang baru dua minggu ditempatkan di pusat asuhan berkenaan meninggal dunia kerana dikatakan tersedak susu.

“Saya dimaklumkan yang cucu meninggal kerana tersedak susu, tetapi masih menunggu hasil siasatan polis bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan laporan perubatan bagi mengenalpasti punca kematian.

No comments:

Post a Comment